Catatan kali ini , saya akan menceritakan aktiviti penanaman terung , kangkung dan kacang panjang. Cuaca yang seringkali hujan juga membawa rahmat. Saya mengambil rahmat Allah s.w.t ini untuk manambah koleksi pokok dan sayur di kebun mini saya. Antara tanaman baru yang saya selitkan di kebun saya adalah:
1. Kacang Panjang
Kacang panjang mempunyai khasiat yang sangat banyak antaranya mengandungi serat yang tinggi dan kaya dengan mineral serta baik diamalkan oleh penderita diabetes. Manfaat lainnya adalah melancarkan pembuangan air besar dan menurunkan kadar kolesterol. Masyarakat Melayu terutama kaum Jawa suka menggunakan kacang panjang untuk makanan popular mereka iaitu pecel (saya pun suka).Dengan harga RM4~6 sekilo saya mengambil inisiatif untuk menanam kacang panjang di satu sudut kebun saya. Gambar di bawah adalah 'screenshot' pokok kacang panjang saya yang baru berumur 3 minggu.
2. Terung Panjang
Terung merupakan salah satu sayuran buah yang digemari oleh penduduk Malaysia. Buahnya boleh dikukus, direbus, digoreng atau dipanggang. Banyak varieti terung terdapat di pasaran. Ada yang berbentuk panjang berwarna ungu, panjang berwarna putih, berbentuk bulat berwarna ungu gelap dan bulat berwarna putih. Biasanya, buah yang pankang mempunyai biji benih yang sedikit berbanding dengan yang berbentuk bulat. Pokok yang saya tanam ni adalah terung panjang. Di Felda Nitar 01 ( rumah ibu saya) mereka mendapat projek untuk menanam sekitar 20 pokok terung dan hasilnya akan dijual kepada pemborong. Di bawah adalah gambar pokok terung saya yang saya tanam dalam polibag.
3. Kangkung
Kangkong sering digoreng untuk masakan . Rempah atau cili dicampurkan bagi menambah rasa yang hambar.Antara masakan yang popular dan juga kesukaan saya yang mengunakan kangkung adalah kangkung goreng belacan atau pun sering digunakan untuk Yong Taufu. Saya sudah lama menanam kangkung sejak berada di sekolah di Nitar 01 lagi. Kangkung perlu sentiasa disiram untuk hidup lebih subur. Ia boleh ditanam sama ada dengan biji benih ataupun dengan menggunakan keratan akar. Saya menggunakan kadeah biji benih untuk menaman kangkung di kebun saya. Alhamdulillah baru seminggu saya semai lihatlah hasilnya pada gambar di bawah. Saya tanak dalam dua baris ( lebih kurang jarak 5 inci antara baris). Musim hujan ni jarang saya siram. Inilah rahmat Allah s.w.t. Tak sabar nak buat lauk kangkung goreng.